Thursday, February 28, 2013

Tolak tepi



Parah.
Tapi masih boleh bernyawa,
Mabuk.
Tapi masih boleh berdiri,
Kau tinggal aku,
tinggal jauh sedang kau sendiri menghampiri,
Katanya nak menemani,
Tapi belum sempat pun mengadu kau pergi,
Aku..
masih normal.
Dengan mata yang terkebil-kebil, mulut yang melopong,
menghadam apa yang berlaku dan apa salahku,
Mengambil langkah mudah,
biarkan sahaja.
Oh, tidak mengapa.
Semakin cuba dilupa,
malah semakin galak menduga-duga,
Seribu satu kemungkinan cuba aku bentangkan,
mata semakin kuyu layu dan sayu,
ketiduran dalam dugaan yang bertamu,
berdakapan dengan sejuknya sang bayu,
sambil ku bisik harapan yang satu.
Lupakan dulu semua itu.
Cuba cipta solidariti baru,
yang ahlinya cuma aku, aku dan aku.
Jadi hari ini hari inkubasi dunia baru.
Jangan ada yang mengganggu.
Aku mahu sepi.
Aku mahu sunyi,
harap tak lama,
kerana khuatir ia membatukan hati.





Tuesday, February 19, 2013

Apa jawapannya?


Kalau sayang apa bukti?
Kalau benci kenapa boleh jadi cinta?
Kalau cinta kenapa pulak jadi benci?
Kalau salah kenapa tutup sebelah mata?
Kalau semua tak sempurna kenapa masih ada yang mencaci?

Soalan demi soalan,
dilempar dan dipunggah,
dikerah sampai pasrah,
entah kenapa kau datang dengan idea menyampah.

Kau tanya soalan yang kau sendiri tahu,
dengan penuh sinis dan bermakna senyummu,
kau nak kepastian atau kau nak aku malu?
Kau beri aku satu saat untuk jawab soalan yang serupa infiniti,
Kau hukum aku seorang tidak berilmu dan kosong jati diri,
Sungguh kau bijaksana?
Oh aku lupa kau sang hakim yang kononnya berkuasa,
Dalam mahkamah kau boleh tunjuk lagak perkasa,
Guna ayat penuh bisa,
tanya soalan yang jawapannya tersedia depan mata,
Alasannya cuma mahu bukti jawapan kau tepat lagi berjaya,

Untuk soalan mu,
Biar aku jawab satu persatu,
dalam ayat yang harapnya padu,
Akal itu satu
harapnya panjang beribu batu,
Guna bijaksanamu fikir apa yang kau mahu,
berkongsi bertanya untuk lebih jitu,
mungkin buah fikirmu ada silapnya yang kau tak tahu,
bukan bertanya seolah jawapannya satu,
buka hati buka selera
untuk jawapan yang mungkin lebih diterima.

Jadi apa jawapannya?
Kau ada,
aku pun ada,
mari bercerita apa jawapan kita.





p/s : jangan kusutkan diri. Nasihat untuk diri sendiri yang terlalu overthinking
dan suka menyendiri....

Tuesday, February 12, 2013

Hujan turun lagi

Bunyi titisan air yang berdetik
sedikit demi sedikit sudah semakin membanyak,
menutup esakan sang perindu,
Dinginnya angin beserta hujan
membawa pergi rasa kasih yang masih bersisa,
Membekukan hati yang masih berdenyut,
Darah merah memenuhi gelas itu,
Darah yang mengalir bukan dari kesan luka,
Tapi mengalir dari mata yang selalu berduka,
Mulanya yang mengalir itu cair,
Semakin lama semakin pekat dan sakit,
Kalau sebelum ini esakan terlalu kuat,
Kini tiada satu esakan yang keluar,
Senyap sunyi,
yang kedengaran cuma titisan darah dari mata,
Beserta titisan hujan yang menggarang di luar jendela,
Semuanya bersatu,
Satu saat di mana tiada darah yang terhasil,
Kau berdiam diri menatap hujan
yang sedari tadi turun tidak berhenti,
Matamu sudah cengkung,
Tubuhmu yang segar sudah tidak lagi terlihat bentuknya,
Setiap garis kulit dan tulangmu tampak jelas teksturnya,
bibir munggilmu tidak lagi tersenyum menggoda,
lembut rambutmu ditiup bayu dari jendela,
kau pejam mata penuh sayu,
sekali lagi darah dari matamu mengalir laju,
entah apa yang kau kenang wahai sang perindu,
sekejap kau diam sekejap kau menangis pilu,
mungkin hatimu menangis selaju hujan yang turun itu,
mungkin juga hatimu dan hujan sudah bersatu,
hari ini kau menangis lagi,
hari ini hujan turun tidak berhenti,
tidurlah sang perindu,
dingin ini bersedia memelukmu,
membekukan hatimu,
hingga tiada lagi darah yang ditangismu.

tidurlah




p/s : inspirasi dari hujan yang turun sejak hari itu dan kesejukan yang menyelubungi

Friday, February 8, 2013

Realiti aksara


Lama aksara itu berhenti,
Sekejap ke depan,
sekejap kembali ke tempat tadi,
kadang-kadang berulang dia begitu,
Nampaknya sang penulis sudah kematian idea,
Mana lagi nak dikorek sumbernya?
Habis sudah diperah,
masih kering juga.
Nak diperah apa lagi?
Jus-jus otak juga sudah kering kontang barangkali,
tak menarik minat zombie yang berlari ke sana ke mari,
Dunia menulis terlalu sukar untuk kau,
tak banyak kilometer yang sudah kau jelajahi,
kurang penglibatan sosial yang kau tempuhi,
susah kau nak menulis kalau kau seolah berada dalam tangki kaca,
melihat dari jauh tapi tak pernah keluar nikmati sendiri rasanya,
Sekarang,
terperuklah kau depan skrin cerah mencari seribu ayat,
memerah segala keringat setelah idea sudah pun pergi meninggal,
Begini kau nak cari makan?
Mimpi lah.
Realitinya....
adalah sukar untuk buat aksara bergerak selaju kelajuan cahaya,
melainkan kau memang sudah tertulis
menjadi sang pemilik aksara sejati,
Beruntungnya..
kerana aku bukan seperti itu..
aksaraku selalu berhenti dan tersekat-sekat
selama mindaku berhenti mencari jalannya,
Namun aku masih tetap setia dengannya.

senyum.
Click 'Publish' dengan harapan aksara akan bergerak laju lagi
untuk keesokannya.
Harap.





p/s : kalaulah aku jadikan menulis itu satu pekerjaan,
mahu mati kelaparan aku jadinya.

Thursday, February 7, 2013

That piece of paper

Last night..
I dreamt about you. Its been a long time.

Satu persatu memori menerjah masuk minda aku tanpa belas kasihan. Aku yang makin lama makin keliru dengan apa yang aku rasa. Rasa lemas. Rasa mahu menjerit berhenti pada semua masa lalu itu. Rimas. Bila perasaan lama menjelma. Kenapa mesti kau ada dalam mimpi itu? Kenapa? Pergi sahaja jauh jauh.
Aku langsung tak berharap kau hadir walau dalam mimpi. "Mimpi cuma mimpi la kenapa kau nak serius sangat ney?" bermonolog sendiri.

Yes. Cuma mimpi dan aku tak pernah berharap ia satu petunjuk. Aku sudah ada masa depan yang aku lakar dan aku rancang. Aku sedang berusaha dengan pelbagai cara untuk menjadikannya kenyataan. Tak mungkin kerana mimpi yang sekejap ini boleh mengubah semuanya. Aku gelak sinis sambil menggeleng kepala. Ah.. Oleh sebab mimpi sudah mendatang, jadi hari ini aku akan habiskan masa mengenang semula masa lalu aku dengan dia. Hari ini sahaja.

Mula-mula aku teringat semua apa yang pernah berlaku. Hubungan yang cuma berapa kali berjumpa, selebihnya melalui pesanan ringkas dan panggilan. Hmmmm.. Nothing special. Kenapa dia jugak yang aku ingat. Geleng kepala lagi. Oh, peristiwa dalam bas. Itu sweet. Aku senyum sendiri. Habis sampai disitu kenangan bersama. Kali ini gelak besar. Itu sahaja? Kau memang kelakar Amillia.

Selepas mandi, tiba-tiba tergerak nak selongkar laci. Eh, terjumpa satu diari lama. Selak satu persatu halaman. Ada lirik-lirik lagu Letto yang pernah kita nyanyi sama-sama. Sungguh childish. Senyum sinis lagi. Eh ada satu halaman yang hilang. Ye, ada bekas guntungan halaman yang masih tertinggal. Mana? Mana halaman tu?

Habis laci aku selongkar. Ada satu beg yang penuh dengan gambar dan kad-kad ucapan. Tersenyum sebentar, sekurang-kurangnya dulu waktu ulang tahun aku mesti akan dapat kad ucapan. Eh ada kad ucapan dari dia dulu. Ah takde, tujuan aku nak cari halaman yang hilang. Aku masih ingat isinya. Cuma aku ingin membacanya sekali lagi.

Tiada.

Aku sudah buang barangkali. Atau mungkin sudah ku bakar.
Dan waktu itu. Hati jadi sayu. Sayu kerana menyesal. Sekarang semua jadi normal. Pandang ke hadapan.
"terima kasih masa lalu sebab jadi peneman untuk hari ini.." Senyum pada diri. Oh, Upin Ipin dah start la. Dah lama tak tengok Upin Ipin. 

Click 'Publish'.

Ehsan En. Google




p/s : first love yang tak mungkin jadi milik aku. Pandang dari jauh dari minda je. 
Tak mungkin kerana sayang,aku cuma teringat je... =)

Wednesday, February 6, 2013

Masih di bawah


Perlahan aku jalan,
bunyi tapak kaki yang diseret ke lantai
memecah sunyi ruangan itu,
Lantai yang dipenuhi bunga melur,
disepak sayu ke tepi agar tidak dipijak,
Dipenuhi wangian melur yang menyesakkan,
namun masih segar.
Ke hulu ke hilir aku berjalan sambil menari kecil,
menikmati ruang sunyi yang wangi,
rambut panjang yang kusut ku sisir lembut,
sambil menyanyi aku tertunduk,
berhenti di tengah-tengah ruangan,
aku terduduk.
tanpa disedari satu titis mutiara jatuh,
cuma satu.
Aku masih disini,
ditapak itu.
tidak berganjak.
Mata mulai merah, marah.
Ku rempuh tingkap dan pintu yang berkunci.
Aku mahu keluar, aku mahu ke atas.
Aku jerit sepenuh hati,
buat pembakar semangat.
Ku rempuh lagi, kali ini berganda tenagaku,
Berulang kali hingga aku terkulai layu,
tingkap itu tetap tidak sedikitpun rosak,
pintu itu masih berkunci kukuh.
Dan aku masih lagi di bawah,
walau apa aku lakukan.
Adakah aku cuma akan keluar
bila aku sudah mati?
Ya mungkin.


Link gambar di SINI




p/s : tak tau lah di mana silapnya. Sudah berusaha tapi masih tak dapat.
Mungkin ada aspek lain yang buat aku gagal. Atau mungkin
usaha masih tidak cukup.
Tak apa lah... bersyukur sahajalah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...