Wednesday, May 2, 2012

Pesan Pada Hati

Bismillah.

Assalamualaikum..

Buat hati yang dicintai,

       Aku berharap kau baik-2 sahaja. Hati, ingin aku pesan padamu. Jagalah diri mu baik-2. Aku yakin kau tahu, ada musuh kita yang sering mencuba merosakkanmu walau dengan cara paling halus sekali. Duhai hati yang ku sayangi, janganlah engkau lupa pada pemilik kita. Pemilik yang mutlak yang tiada ganti dan tiada akhirnya. Aku amat berharap agar kau kuat melawan musuh kita, kerana dengan kekuatanmu, insyaAllah aku juga kuat menghadapi musuh sejak azali ini.

       Hati, tahukah kau aku amat menyayangimu. Sering kali aku cuba mendidikmu agar bersabar dengan segala yang terjadi. Sering kali ku ucapkan kalimah istighfar untukmu agar kau sejuk hingga aku seolah lelah untuk mengucapkannya berulang kali. Namun dek kerana aku tahu itu yang musuh kita nantikan.. tak mungkin jemu aku mengucapkan kata itu. Hati, sabar itu penyejuk segalanya. Sabar itu mampu mencairkan ais yang membeku namun cukup untuk memadamkan api kemarahan.

       Buat hati yang mudah goyah. Tegaslah kamu. Teguh dalam mengawal perasaanmu. Aku tahu kau sangat mudah terusik terutama bila adanya kehadiran lelaki yang cuba mengetuk pintu memohon untuk masuk. Jangan. Jangan terlalu mudah memberi peluang untuk mereka. Khuatir kehadirannya sekadar ingin menjenguk bukan untuk menghuni dan berteduh di ruangan yang satu itu. Ingat wahai hati, disegenap ruang harus ada kesan atau bukti pemilik kita. Jangan kau buang meski kau sudah punya penghuni yang menumpang.

      Hati, dunia ini penuh tipu daya. Maka, haruslah kau sediakan persiapan. Persiapan untuk menapis dan menepis tipu daya itu. Ingat hati, kerana kau yang seketul itu mampu mempengaruhi jasadku. Kerana kau yang seketul itu mampu membuatkan sesuatu yang sangat besar. Sama ada mulia atau keji, kau yang tentukan ke mana. Namun, sekali lagi aku berharap kau tidak memilih jalan yang ingkar. Meskipun terlihat senang dan mudah, namun itu semua ilusi. Jalan yang busuk itu akan menyesakkanmu suatu hari nanti yang pasti andai tidak kau kembali ke pangkalnya lagi.

      Beringatlah, jalan yang mudah itu tak selalu jalan yang mulia. Namun, jalan yang mulia pasti akan memudahkanmu. Cuma sedikit ujian dan halangan untuk kita, hanya sekadar menguji apakah kita sabar dalam menuju destinasi. Duhai hati yang dikasihi, kasihlah engkau pada berhak dan lebih berhak iaitu pemilik kita. Bencilah engaku pada musuh yang layak dibenci iaitu musuh yang ditakdirkan menjadi musuh kita sejak di alam roh.

       Setakat ini sahaja pesananku untukmu. Semoga pesanan yang secebis ini mampu membuatmu lebih teguh dan kuat malah cukup lembut dan tenang untuk mengasihi mereka yang layak dan sudah ditakdirkan untuk dikasihi olehmu. Aku teramat mencintaimu wahai hati. Maka bersama-samalah kita menghadapi persinggahan yang sementara ini. Sekian.

Wassalam.

Yang benar,
Amillia_Ami

                                  *  *  *  *  *  *

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...