Monday, October 31, 2011

Coretan : Jiwa Jalanan Part 1


        Pagi itu, sejuk. Aku berfikir dua tiga kali sama ada mahu bangkit atau rebah sahaja menurut kata hati. Nafsuku memaksa, otakku menghalang. Ah! Benci berperang dengan diri sendiri. Bangun. Menghembus nafas kasar. Sedikit mengeluh. Jiwa putihku berkata jangan mengeluh walau sedikit. Baiklah. Ku turutkan sahaja. Kakiku melangkah ke kamar mandi. Laju. Takut nafsu ku memujuk lagi dan aku kalah. Mandi. Buang segala rasa negatif. Pagi ini pagi untuk mencari rezeki. Biar segala cas positif menghampiriku.

         Solat Subuh harus dikerjakan. Mak aku kata, solat permulaan hari yang sangat baik. Murah rezeki katanya. Harap dapat ku siapkan segala perisai. Semakin banyak cas positif maka semakin banyak jugalah cas negatif yang cuba menghampiri. Kuat atau tidak aku harus menghalangnya. Ya.
Usai solat. Nafas ku hembus lembut. Tenang. Aku senyum, indah pagi ini. Kenapa baru sedar? Aku pun tak tahu.

         Di stesen LRT, aku tunggu. Dan tunggu. Hingga munculnya gerabak itu, kedengaran dari jauh. Aku bersedia. Pagi itu memang tidak ramai, jadi dapatlah aku duduk. Jika tidak, kaki ini akan berjasa lagi berdiri hingga tiba di destinasi yang dinanti. Di saat itu, fikiran aku melayang entah ke mana sahaja yang dia mahu. Perhentian demi perhentian. Hingga aku lupa ke mana aku harus pergi kali ini. Bersama gitar keramat, ku terkulai terduduk terimbas segala kenangan.

“Aku dah kata. Aku tak suka kau jadi ahli muzik. Kenapa kau degil? Kau ingat kau boleh hidup ke dengan melalak ke sana ke mari?!”

“ Ayah, ini minat saya. Ini impian saya. Tolonglah ayah, restui saya.”

“Jangan harap! Tapi kalau kau berkeras. Baik. Kau boleh pergi capai impian kau, tapi jangan mimpi nak jejakkan kaki ke rumah ini lagi!” jerkah ayah.

“Aku nak tengok macam mana hidup kau. Huh! Ahli muzik konon! Tuih!” sambungnya.

         Entah kenapa bayangan itu yang bermain dalam fikiran aku, lantas menjadi sarapan aku pagi itu. Sakit. Tiba-tiba, sebutir mutiara yang sangat jarang terhasil jatuh di jemariku. Aku menangis? Oh. Ya aku menangis rupanya. Lalu diseka air mata itu. Langkah kucepatkan, keluar dari gerabak. Entah aku di mana, aku tak pasti. Yang aku tahu, aku mahu keluar. Menikmati indahnya bumi ini. Walaupun aku tahu, di kota ini penuh dengan asap karbon dioksida sama seperti keegoaan yang menebal. Perikemanusiaan yang hampir hilang sama sahaja dengan lapisan ozon yang semakin menipis. Namun ini masih bumi aku.

         Di jalanan, kulihat kiri dan kanan. Hutan konkrit. Kenderaan yang menyusup laju. Tanpa perasan aku di sini. Ya, aku cuma golongan picisan. Tidak dipandang. Namun golongan seperti akulah yang paling memahami dunia. Paling memahami isi hati orang. Juga amat memahami corak hidup yang kini semakin kusut. Berhenti di satu tempat. Bagus. Cukup terbuka. Ku duduk di tempat yang disediakan. Ku buka zip, ku keluarkan gitar keramatku.

         Sebelum itu, ku pejamkan mata, menghirup udara. Disebalik bau asap yang memenuhi ruang, ku mencari bau rumput yang basah. Ku mencari bayu kabus pagi yang menyapa lembut pipiku. Terasa. Ku buka mata. Hampa kerana ia bukan kenyataan. Hanya gambaran minda yang kuhasilkan. Cukuplah. Ku tenung gitar itu penuh kasih sayang. Pandanganku sayu. Sudah banyak yang aku lalui bersama dia. Terima kasih hanya kau yang setia menemaniku.

         Ku petik satu kod. Kod kedua, ketiga dan seterusnya. Mulanya sebuah langkah. Ya, lagu yang ku cipta spontan bagaikan langkahku. Setiap yang ku mainkan, seolah langkah pertamaku. Bahagia. Ku mula menyanyi mengikut nada yang ku ukir indah. Jemariku laju memetik tali gitar. Luka yang dipendam seakan dibasuh. Lega. Gembira. Senyuman kembali terukir. Lebar.

….sembunyi ku dari mimpi-mimpi,
lari dari rasa hati yang benci,
mencari ketenangan yang hakiki,

tak semua yang berlaku ku mahu,
tak semua yang ku impikan ku tahu,
apa dia yang menanti menunggu,

Aku,
bertanya pada bintang oh, di mana dia si bulan,
cahayanya yang aku nantikan,
bersembunyi disebalik awan.

Siramilah aku dengan cahayamu,
biar aku tahu mana nak dituju,
bawa aku terbang kepadamu,
biar jiwa tenang, hati pun tak ragu.....

         Semakin laju. Lagu dimain penuh ghairah. Hidup terisi lagi. Jiwa tidak menangis kini. Selesai. Aku terdiam melihat wang dicampak kepadaku. Senyum. Namun masih keliru. Adakah mereka fikir aku pengemis? Bukan! Aku cuma menjual bakatku. Aku mengharapkan wang itu tanda menghargai bakatku. Ya. Bukan belas kasihan aku harapkan. Setelah sorakan dan tepukan ku terima. Bersyukur. Mereka masih tahu menilai. Masih wujud manusia berhati baldu.

Bersambung.....

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...